Lompat ke konten Lompat ke sidebar Lompat ke footer

Widget HTML #1

Biografi Imam Hasan Al-Attar, Impian Menuju Peradaban Islam

Biografi Imam Hasan Al-Attar, Impian Menuju Peradaban Islam

Fikroh.com - Syaikh al-Azhar al-Syarif yang ke-16 adalah Imam Hasan Bin Muhammad Bin Mahmoud al-Attar (wafat 1835M/1250H) atau lebih dikenali dengan nama Imam Hasan al-Attar ialah seorang tokoh mutafannin (polymath) yang tidak asing dalam tradisi pemikiran Islam, khususnya bagi kalangan penuntut ilmu di al-Azhar al-Syarif. Beliau yang menguasai pelbagai bidang, baik dalam bidang agama maupun diluar bidang agama seperti astronomi, farmasi, seni dan sebagainya, terkenal dengan gagasan islah dan tajdid, khususnya dalam aspek pendidikan dan dakwah Islamiah.

Dalam merealisasikan gagasan demikian, beliau pernah mengutuskan dua orang muridnya untuk menjelajah ke dunia luar dan memerhatikan segenap aspek kehidupan masyarakat di sana, analisa ditunjukkan dari sudut pembangunan, pembudayaan, pendidikan dan kemasyarakatan yang berlaku sepanjang tempo pengembaraan mereka tersebut. Pengutusan ini bertujuan supaya peradaban Islam yang dinilai 'agak terkebelakang,' dapat disuntik dan disegarkan dengan nafas baru dari peradaban lain, tanpa melepaskan prinsip-prinsip agama Islam. 

Murid beliau yang pertama menyambut tugas mulia tersebut ialah Shaykh Rifa’ah Rafi’ al-Tahtawi al-Husayni (wafat 1873H/1290H). Beliau telah ditugaskan untuk berkelana di Paris, Perancis bagi menyaksikan segala intisari kehidupan dan perubahan di sana. Rentetan dari usaha ini, maka terbitlah sebuah karangan beliau yang berjudul Takhlis al-Ibriz fi Talkhis Bariz.

Sebelum keberangkatan Shaykh Rifa’ah al-Tahtawi ke Paris, Imam Hasan al-Attar sempat berpesan kepada muridnya itu :

“Wahai anakku, kita sangat dituntut untuk membina jambatan di antara peradaban Islam dengan peradaban-peradaban yang lain. Dengan inisiatif ini, kita akan berjaya menyingkap segala kunci dan rahsia yang membolehkan mereka (peradaban bukan Islam) telah mendahului kita (umat Islam). Wahai anakku! Jangan sesekali kamu lupa untuk menyunjung tanah air kamu sendiri”. 

Sementara itu, murid Imam Hasan al-Attar yang kedua pula adalah Shaizkh Muhammad ‘Iyadh al-Tantawi (wafat 1861M) telah ditugaskan untuk menjelajah ke Saint Petersburg, Rusia untuk melihat sisi peradaban dan kebudayaan di sana. Segala penelitian tersebut, beliau tuangkan di dalam sebuah kitab yang bertajuk Tuhfat al-Azkiya’ bi Akhbar Bilad al-Rusiya.

Sepanjang tempo pengembaraan Shaikh Muhammad ‘Iyadh al-Tantawi di bumi Rusia, beliau pernah mengutuskan surat kepada rekannya yaitu Shaykh Rifa’ah al-Tahtawi seraya mengisahkan pengalaman-pengalamannya di situ seperti rasa tertegun beliau terhadap sifat ramah dan mesra yang ditonjolkan oleh masyarakat Rusia kepada orang asing, konsep menata kampung yang cantik, aspek-aspek pelatihan yang cemerlang dan pelbagai pernak pernik pengalaman yang beliau temui di sana. Utusan surat ini berlaku seperti mana Shaykh Rifa’ah al-Tahtawi yang pernah mengutuskan surat kepada beliau -ketika itu Shaykh Muhammad ‘Iyadh masih di Kaherah, Mesir-, lalu meriwayatkan pengalaman-pengalamannya di bumi Paris.

Fadhilat al-Shaykh Dr. Usamah al-Sayyid al-Azhari yang mengkaji secara komprehensif mengenai pemikiran Imam Hasan al-Attar semenjak tahun 2002 lagi, pernah mengungkapkan bahawa gagasan dan semangat dari Imam Hasan al-Attar ini, wajar dijadikan sebagai salah satu model buat para pengkaji dan pemikir Islam serta tidak terlepas buat para penuntut ilmu untuk membangunkan semula peradaban dan ketamadunan Islam yang hilang taringnya.

Ditambah lagi dengan episod-episod pengalaman Imam Hasan al-Attar yang pernah merantau ke pelbagai negara seperti Rom, Syam, Hijaz dan Istanbul, telah membukakan lagi ufuk pengetahuannya supaya dapat melihat variasi peradaban umat di atas muka bumi ini. Agama Islam tidak pernah menghalang umatnya dari mengambil faedah daripada manusia lain, asalkan faedah dan nilai-nilai sesuai dengan ketentuan agama suci ini. Imam Hasan al-Attar telah meninggalkan kepada generasi berikutnya, kunci-kunci yang boleh menjadi tanjak kepada projek pembangunan intelektual umat Islam. Bakinya, kita yang menjadi umat selepasnya, perlu memanfaatkan segala teras dan kunci peradaban yang pernah direnungi oleh seorang tokoh azhari yang agung ini, kemudian mengaktifkannya ke dalam realiti umat Islam pada hari ini bagi menghadapi cabaran zaman.

Untuk mengenali dengan lebih dekat mengenai keperibadian Imam Hasan al-Attar, maka boleh memuat turun dan membaca sebuah kajian khusus mengenai beliau pada kitab Hasan Al-'Atthar karya Abdul Ghani Hasan.

Keterangan gambar: Suasana permai di hadapan Kompleks al-Sultan al-Mansur Qalawun, Kaherah yang dilakarkan oleh seorang pelukis dari German, Carl Werner (1808M-1894M).